Nama saintifik tumbuhan ini ialah Ocimum Tenuiflorum dan Ocimum Sanctum. Ia lebih dikenali dengan nama Tulsi iaitu nama utamanya di India. Penulisan tentang herba ini dalam pelbagai bahasa dunia juga lebih gemar menggunakan nama Tulsi dan satu nama lain yang hampir sama iaitu Tulasi. Dalam masyarakat Melayu, ia dikenali dengan nama Kemangi manakalala dalam Bahasa Inggeris ia disebut sebagai Holy Basil. Tumbuhan ini merupakan herba beraroma kuat daripada famili Lamiaceae yang tumbuh di semua negara tropika. Kini ia turut ditanam di negara-negara bukan tropika untuk pelbagai kegunaan. Ia tumbuh tegak dengan cabang dahan yang banyak. Ketinggiannya mencecah sehingga 60 cm. Batangnya berbulu manakala daunnya tumbuh secara bertentangan di batang atau ranting pokok. Daun pokok ini berwarna hijau dengan beberapa ciri khas iaitu bau yang sangat kuat atau tajam, berbentuk bujur, bersaiz kira-kira 5 cm dan permukaannya kesat. Bunganya tumbuh bertangkai tandan (inflorescence) dan berwarna keunguan . Ada dua jenis pokok ini yang biasa dijumpai iaitu yang berdaun hijau dan berdaun ungu. Pokok herba ini terkenal di negara-negara Asia Selatan sebagai tumbuhan ubat dan sebagai teh herba yang meluas penggunaannya dalam perubatan ayurvedic. Di India, pokok ini turut ditanam untuk tujuan keagamaan (agama Hindu). Thai Holy Basil atau Kraphao yang digunakan dalam masakan di Thailand juga sebenarnya adalah Ocimum Tenuiflorum . Hanya perkataan 'Thai' ditambah sebelum perkataan 'Holy Basil' sehingga berlaku kekeliruan seolah-olah ia dari jenis yang lain.
Kegunaan dalam perubatan moden
Beberapa kajian terkini menunjukkan bahawa Tulsi mempunyai nilai COX-2 inhibitor (satu bentuk bahan anti-radang / anti-imflammatory yang bukan steroid - NSAID) seperti kebanyakan ubat tahan sakit dalam rawatan moden. Nilai ini berfaktorkan kandungan eugenol berkepekatan tinggi di dalamnya (1-hydroxy-2-methoxy-4-allylbenzene).
Satu kajian lagi menunjukkan bahawa Tulsi boleh menjadi perawat yang berkesan untuk masalah diabetes kerana keupayaannya mengurangkan kadar gula dalam darah. Kajian yang sama turut menunjukkan keberkesanan pengambilan herba ini untuk mengurangkan kadar kolesterol.
Laporan hasil satu kajian yang lain menyatakan bahawa keberkesanan Tulsi mengurangkan kadar gula dalam darah adalah berfaktorkan kandungan anti-oksidan dalam herba ini. Selain itu, Tulsi juga didapati berpotensi menghalang atau mencegah keracunan radiasi manakala kajian tentang minyak patinya menunjukkan bahawa ia mempunyai keupayaan anti-hyperlipidemic dan cardioprotective yang berkaitan dengan pengguna diet yang tinggi kandungan lemak. Ia juga bersifat carminative iaitu mampu mencegah pembentukan gas dalam saluran pencernaan dan melancarkan penyingkiran gas tersebut (hal ini mencegah kembung perut dan lain-lain kerengsaan berkaitan perut). Sifat antispasmodic herba ini menjadikannya tambahan pilihan untuk masalah kekejangan yang semakin tinggi kadarnya di seluruh dunia.
Di antara kandungan kimia utama tumbuhan ini ialah Oleonic acid, Ursolic acid, Rosmarinic acid, Eugenol, Carvacrol, Linalool, dan β-caryophyllene. Ia juga mengandungi Tannins, Estragole, Beta Carotene, Vitamin A dan C. Minyak pati berwarna hijau kekuningan yang dihasilkan daripada daun Tulsi berubah kepada bentuk kristal jika disimpan bagi satu tempoh tertentu. Kristal ini dikenali dengan nama basil camphor yang berguna untuk perubatan kerana sifat terpenoid nya. Daunnya juga mengandungi bahan anti-selsema (anticatarrhal), expectorant (keupayaan melancarkan aliran kahak, belagham dan hingus serta membantu kualiti pernafasan), aromatic dan diaphoretic (merangsang penghasilan dan aliran peluh). Biji Tulsi mengandungi banyak lendir (mucilage) yang mampu menawar rasa sakit (demulcent). Keseluruhan tumbuhan ini memiliki sifat antihelmintic (keupayaan menyingkirkan atau membunuh cacing parasit). Kegunaan dalam perubatan tradisional dan alternatif Tulsi telah digunakan dalam perubatan ayurveda sejak ribuan tahun dulu untuk pelbagai khasiat penyembuhan sebagaimana yang dinyatakan di dalam buku utama kaedah perubatan itu iaitu Charaka Samhita.
Herba ini diiktiraf sebagai adaptogen (agen meningkatkan daya tahan badan terhadap stress, trauma, keresahan dan keletihan) serta sebagai pengimbang nisbah keserasian pelbagai proses sistem tubuh badan. Dalam dunia perubatan Ayurveda dan kaedah perubatan alternatif berasaskan herba, Tulsi dinobatkan sebagai 'kemujaraban untuk kehidupan' yang dipercayai dapat membantu umur panjang (bermaksud sihat sepanjang hayat). Secara tradisional ia digunakan dalam pelbagai bentuk iaitu sebagai teh herba, serbuk kering, daun segar atau diadun bersama pelbagai bahan atau herba lain. Minyak pati yang diekstrak daripada herba ini digunakan dengan meluas dalam pembuatan kosmetik berasaskan herba terutamanya kosmetik penjagaan kulit kerana keupayaannya sebagai anti-bakteria. Selain daripada kegunaanya untuk rawatan penyakit dan penjagaan kesihatan, ia juga bermanfaat untuk pelbagai tujuan lain. Sebagai contoh, daun kering tumbuhan ini digunakan oleh pengusaha pertanian di kebanyakan negara Asia Selatan untuk menghalang gangguan serangga di gudang atau bekas simpanan bijirin. Caranya amat mudah iaitu dengan mencampurkan herba ini bersama bijirin yang disimpan pada nisbah yang tertentu. Penggunaan awal herba ini dalam rawatan dan penjagaan kesihatan lebih fokus kepada 'melegakan rasa sakit'. Keberkesanannya bagi maksud itu sangat terbukti. Di negara-negara Timur Jauh ia digunakan sebagai ubat batuk manakala di Afrika ia merupakan bahan rawatan untuk menyingkirkan cacing daripada usus. Penjajah Amerika menggunakan Tulsi sebagai bahan penting dalam penyediaan bahan sedutan untuk melegakan sakit kepala.
Sebahagian daripada senarai penyakit, bahagian pokok yang digunakan dan cara guna :
- Allergy / seluruh pokok / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Asthma / daun atau seluruh pokok / Kunyah daun segar dan minum rebusan serbuk pokok/daun.
- Bronchitis (radang paru-paru) / daun / Minum air rebusan daun kering.
- Batuk kokol (pertussis, whooping cough) / daun atau seluruh pokok / Kunyah daun segar dan minum rebusan serbuk pokok/daun.
- Batuk kronik (kanak-kanak) / daun / Minum jus daun segar yang dicampur madu lebah.
- Bisa ular dan kala jengking / akar / Lumatkan akar (segar atau serbuk kering) bersama sedikit air. Pupuk di tempat gigitan/patukan.
- Bisul / daun / Lumatkan dengan sikit air dan pupuk pada bisul.
- Buasir (hemorrhoids - internal piles) / biji / Minum jus biji segar atau air rebusan serbuk biji kering.
- Cacing / daun / Minum jus daun segar yang dicampur madu, halia dan bawang.
- Cystitis (radang pundi kencing) / biji / Minum jus biji segar atau air rebusan serbuk biji kering.
- Demam dengan rasa sejuk terlampau / daun / Jadikan pes. Pupuk di jari dan kuku kaki.
- Demam selsema dan muntah berulang / daun / Minum jus campuran 12g daun segar dan 3g lada hitam.
- Diabetes / daun atau seluruh pokok / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Dysentery (berak berdaras) / jus daun / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Dyspepsia (gangguan pencernaan / jus daun / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Gastric / daun / Makan daun segar atau minum jus daun (segar/kering).
- Gatal kulit / daun / Jadikan pes. Pupuk di bahagian berkenaan.
- Gigitan serangga / daun / Jadikan pes atau salap. Sapu di tempat gigitan.
- Gonorrhea (sejenis penyakit kelamin) / biji / 1 sudu teh - rendam dalam segelas air hingga kembang melekit seperti jelly. Tambah sedikit gula dan minum.
- Halau lalat dan nyamuk / keseluruhan pokok / letak dalam bekas di tempat yang dikehendaki.
- Jangkitan kulat (fungal infection) / daun / Jadikan pes. Pupuk di bahagian berkenaan.
- Jangkitan saluran pernafasan / seluruh pokok atau daun kering / Rebus dan minum air rebusan.
- Jerawat (acne) / daun / Jadikan pes. Pupuk di bahagian berkenaan.
- Kembung perut (flatulence) / daun dan seluruh pokok / Kunyah daun segar dan minum rebusan serbuk pokok/daun.
- Kualiti darah / daun dan seluruh pokok / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Kurap / daun / Jadikan pes. Pupuk di bahagian berkenaan.
- Kusta / daun / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Lemah syahwat / daun / seluruh pokok / Serbuk kering. Dosnya 2 - 5g.
- Malaria / daun dan seluruh pokok / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Masalah hati (hepathic affection) / daun dan seluruh pokok / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Nephritis (radang buah pinggang) / biji / / Minum jus biji segar atau air rebusan serbuk biji kering.
- Pendarahan (hemorrhage) / jus daun / Minum jus daun segar yang dicampur madu lebah.
- Sakit kulit kronik / daun / Campur lemon. Jadikan krim atau pes. Sapu.
- Sakit otot (sore muscles) / daun / Diadun bersama minyak urut. Sapu di bahagian yang sakit.
- Sakit perut (kanak-kanak) / daun / Jadikan jus dengan campuran sedikit halia.
- Sakit selepas melahirkan anak / biji / Minum jus pokok/daun segar atau rebusan daun kering.
- Sakit telinga / daun / Lumatkan daun dengan sedikit air. Masukkan dua titik air perahan itu ke dalam rongga telinga sebagai rawatan awal.
- Sariawan / daun / Ubat kumur.
- Selsema / daun dan seluruh pokok /Kunyah daun segar dan minum rebusan serbuk pokok/daun.
- Tambah tenaga / seluruh pokok / Rebus seluruh pokok. Jadikan air mandian setelah sejuk.
- Sesak nafas / daun / Minum air rebusan daun kering.
Kegunaan Tulsi mengikut amalan pengamal rawatan Ayurveda:
Pokok Tulsi mempunyai banyak khasiat perubatan. Daunnya adalah tonik saraf yang mampu menajamkan ingatan. Ia juga dapat menggalakkan penyingkiran bahan berkaitan selsema seperti hingus dan kahak yang terkumpul di tiub bronkial (bronchial tube).
Daunnya juga mampu menguatkan perut dan menggalakkan penghasilan peluh. Bijinya adalah mucilaginous yang amat membantu rawatan atau pencegahan penyakit berkaitan perut dan usus terutamanya gastrik (gastro-intestinal inflammatory).
Amalan minum jus Tulsi cair pada setiap pagi ketika perut masih kosong amat membantu membina tenaga, ingatan dan penampilan. Amalan minum air rebusan Tulsi yang dicampur dengan sedikit gula dapat menambah tenaga dan menghilangkan letih/penat. Amalan ini juga berkesan untuk meningkatkan fungsi sistem pencernaan dan menambah selera makan.
Jus Tulsi dengan campuran dengan sedikit garam dititikkan ke dalam lubang hidung seorang yang pitam untuk memulihkannya atau mengembalikan 'sedar'nya. Pengambilan Tulsi secara umumnya dapat mengurangkan kadar kolesterol ke paras normal dengan cepat. Mengamalkannya setiap hari dapat merawat masalah berkaitan asid dan menyembuhkan dysentery. Ia juga bermanfaat untuk masalah otot, alah suhu sejuk, leucoderma, obesiti dan sakit kepala.
Campuran Tulsi dan daun Sireh sangat berkhasiat untuk merangsang penghasilan darah dan air mani. Antara hasil lanjutannya ialah penyembuhan masalah impotensi.
Campuran daun Tulsi (segar atau yang telah dikeringkan), sedikit minyak sapi dan serbuk lada hitam dimakan untuk mencegah malaria atau wabak demam. Gunakan 5-7 helai daun bagi kanak-kanak dan 25-50 helai daun bagi orang dewasa. Ramuan ini boleh dimakan atau dikisar menjadi jus.
Serbuk atau debu bunyanya berkhasiat untuk merawat kecing kotor dan menambah kesegaran badan. Tulsi juga merupakan penawar ketagihan. Caranya ialah dengan mengunyah daunnya yang dicampur dengan sedikit lada hitam sewaktu datang rasa ketagih.
Amalan minum atau makan persediaan berasaskan Tulsi juga mampu menghasilkan berat badan yang ideal. Dengan perkataan lain ia dapat merangsang pertambahan berat badan bagi orang yang terlalu kurus dan dapat menurunkan berat badan pengidap obesiti.
Demam
Daun Tulsi berkhasiat untuk rawatan pelbagai jenis demam. Ketika merebaknya demam malaria dan demam denggi di musim hujan, teh herba yang direbus bersama daun Tulsi mampu mencegah daripada serangan dua jenis demam ini. Rebusan campuran daun Tulsi dan serbuk buah pelaga yang diminum bersama manisan tebu atau madu lebah dan susu amat berkhasiat menurunkan suhu badan.
Pengidap demam boleh juga meminum jus Tulsi yang dihasilkan dengan cara meramas atau menghacurkan daunnya di dalam air biasa. Minum setiap 2 atau 3 jam sambil meneguk air biasa dalam waktu selangnya. Kaedah ini sangat berkesan untuk rawatan menurunkan suhu badan kanak-kanak yang mengalami demam.
Untuk mengelakkan demam malaria, minum jus yang dihasilkan daripada 10 gram daun Tulsi pada waktu pagi tengahari dan /petangmalam (3 kali sehari).
Ekstrak yang dihasilkan dengan cara merenih 10 g daun Tulsi dan 10 g daun Raja Kayu (Trengguli - Indonesia, Cassia Fistula - saintifik, Amaltas - India) dalam sebekas kecil air amat berkesan untuk kebanyakan jenis demam.
Jus Tulsi yang dicampur dengan halia dan madu lebah berkhasiat menambah selera makan dan membantu penyembuhan demam, alahan cuaca sejuk dan pneumonia.
Untuk masalah influenza, rendam 10 gram pokok Tulsi dalam setengah cawan madu lebah selama seminggu. Selepas itu tapis dan asingkan cecair daripada bahan rendaman. Minum dua sudu besar cecair ini 3 kali sehari.
Kisar 11 helai daun Tulsi, 9 biji lada hitam, 30 gram Bishops Seed (Carom Copticum, Ajwain) dan 50 gram Halia. Panaskan periuk tanah dan tuang campuran yang telah disediakan. Dedahkan seluruh badan kepada wap yang terbentuk itu. Apabila tiada lagi wap yang terhasil, tambah sedikit garam batu ke dalam campuran itu dan minum. Pada kebiasaannya, demam akan segera kebah.
Jus yang dihasilkan daripada 10 gram daun Pudina, 10 gram daun Tulsi dan 5 gram gula pasir juga berkesan untuk demam yang kronik. Hancurkan daun Tulsi dan daun atau buah Remunggai (Moringa Oleifera). Bancuhan serbuk ini di dalam air suam diminum untuk menyembuhkan demam kepialu (typhoid fever).
Jika demam disertai dengan batuk dan kesukaran bernafas akibat kahak berlebihan, minum campuran 3 gram jus Tulsi dan 3 gram jus halia bersama 1 sudu teh madu lebah.
Kisar 10 gram biji Tulsi, 10 gram biji cili dan 10 gram perahan biji Mempari (Pongamia Pinnata) sehingga menjadi pes dan bentukkan menjadi pil sebesar kacang. 3 biji pil adalah mencukupi sebagai penawar demam dan boleh juga merawat masalah air mani tidak normal (abnormalities of semen).
Perahan pekat yang dihasilkan daripada 6 helai daun Tulsi dan 7 biji lada hitam yang dicampur dengan 2 sudu besar air boleh merawat demam kepialu yang disertai dengan keadaan sangat lemah anggota badan.
Rebusan daun Tulsi kering, 2 gram halia dan 2 gram lada hitam yang dicampur dengan susu dan gula adalah penawar demam dan sakit dada yang diakibatkan oleh kerengsaan otot.
Amalan mengunyah 20-25 gram daun Tulsi dapat mencegah masalah pernafasan yang mudah berlaku pada musim sejuk atau musim hujan.
Pengidap demam kepialu disyorkan supaya menempelkan daun Tulsi yang dilumatkan pada kuku jari tangan dan jari kaki untuk mengatasi masalah kadar denyutan nadi yang lemah. Rawatan ini perlu diteruskan sehingga seminggu selepas sembuh daripada demam.
Sakit tekak
Minum air rebusan daun Tulsi. Gunakan juga air rebusan ini untuk berkumur sekerap yang mungkin.
Gangguan pernafasan
Air rebusan daun Tulsi yang dicampur dengan madu lebah dan halia adalah penawar berkhasiat untuk masalah bronchitis, asthma, influenza, batuk dan kesejukan melampau. Air rebusan daun Tulsi, bunga cengkih dan garam biasa juga mampu memberikan kelegaan segera kepada pesakit influenza. Rebus bahan-bahan itu sehingga air rebusan menyusut separuh daripada asal.
Tulsi juga adalah bahan penting dalam penyediaan sirap ubat batuk dan expectorant (agen melegakan masalah kahak). Ia merangsang pengeluaran kahak daripada saluran pernafasan dan paru-paru pengidap masalah bronchitis dan asthma.
Batu karang dalam buah pinggang
Minum jus daun Tulsi yang dicampur dengan madu lebah. Amalan ini boleh menyebabkan batu karang keluar melalui saluran kencing selepas satu tempoh antara 1 hingga 6 bulan.
Masalah jantung
Tulsi berkhasiat menyingkirkan kolesterol dalam darah.
Penyakit kanak-kanak
Tulsi amat berkesan sebagai penawar bagi masalah pediatric yang biasa pada kanak-kanak seperti batuk, demam, diarrhoea, gangguan pernafasan, muak susu dan muntah.
Bagi kes demam campak, bintik-bintik campak yang terhalang atau lambat kemunculannya di permukaan kulit boleh diatasi dengan ramuan daun Tulsi yang dicampur dengan za'faran (saffron). Adalah disyorkan supaya jumlah bahan dalam persediaan ramuan untuk kanak-kanak dikurangkan berbanding untuk orang dewasa. 2 hingga 5 gram biji Tulsi adalah memadai untuk kebanyakan masalah kanak-kanak.
Daun Tulsi yang dilumatkan dengan sedikit air dipupuk ke dada dan dahi kanak-kanak untuk merawat rasa kesejukan semasa demam. Usahakan supaya kanak-kanak yang demam itu menghidu dan menyedut bau yang dihasilkan oleh daun Tulsi itu. Berikan 1/2 sudu teh jus Tulsi yang dicampur dengan 1/2 sudu teh madu lebah.
Bagi kes kanak-kanak yang mengalami batuk kering, sediakan pes daripada daun Tulsi muda dicampur dengan madu lebah. Pes ini diambil dengan cara menjilatnya sedikit demi sedikit tanpa susulan minum sebarang minuman.
Amalan menggosokkan sedikit jus Tulsi ke gusi bayi sebelum giginya tumbuh boleh membantu pertumbuhan gigi yang kurang bermasalah.
Penggunaan Tulsi di peringkat awal masalah demam, berkahak, muntah-muntah dan diarrhoea dapat mengelakkan penyakit itu daripada bertambah teruk bahkan menyembuhkan dengan cepat.
Bagi kes batuk kering atau batuk yang teruk, rebus 5 gram bunga Tulsi, 5 gram Jerangau (Sweet Flag, Acorus Calamus) dan 20 gram gula pasir dalam 500 gram air sehingga menyusut kepada setengah daripada asal. Tapis dan ambil airnya sahaja dan biarkan sehingga sejuk. Minum 4 atau 5 kali untuk menyembuhkan sakit.
Sakit perut kanak-kanak boleh dirawat dengan meminum jus suam campuran Tulsi dan Halia.
Kembung perut dirawat dengan meminum 5-10 gram jus Tulsi.
Bagi bayi yang mengalami masalah perut memulas yang biasanya menyebabkannya menangis berpanjangan, berikan sedikit serbuk halia kering dicampur dengan daun tulsi untuk kelegaan yang segera.
Amalan minum air yang dicampur dengan 5 hingga 10 titik jus daun Tulsi setiap hari dapat menguatkan otot dan tulang bayi.
Penawar demam dan batuk bagi kanak-kanak boleh disediakan dengan campuran 10-30 titik perahan pekat serbuk lada hitam ke dalam 15 gram jus Tulsi yang dimaniskan dengan 5 gram gula pasir.
Jika anda terdengar bunyi nyaring yang halus ketika kanak-kanak bernafas dalam cuaca sejuk yang mungkin berpunca daripada kahak yang terkumpul, berikan susu yang dipanaskan dengan sedikit daun Tulsi. Kemudian, selimutkan kanak-kanak itu untuk memanaskan badannya.
Untuk merawat cirit-birit (diarrhoea) yang dialami oleh kanak-kanak ketika tempoh tumbuh gigi, masukkan 2 gram serbuk Tulsi ke dalam bancuhan susu. Jika bayi itu minum susu ibu, campurkan serbuk Tulsi itu dengan sedikit susu ibu yang diperah dan suap dengan sudu semasa memulakan penyusuan.
Jus Tulsi suam dapat membantu mengatasi masalah cacing.
Ekstrak akar Tulsi dengan sedikit gula dapat menyembuhkan sembelit dan kembung perut serta melancarkan buang air besar.
Campuran jus Tulsi dan jus Sireh yang dipanaskan sedikit dapat memberikan kelegaan bagi masalah buang angin (kentut) yang berpunca daripada ketidaksempuranaan pencernaan.
Ekstrak daun dan bunga Tulsi yang dicampur dengan manisan tebu dapat melegakan gangguan atau kesukaran bernafas.
Serbuk kulit akar Tulsi yang dicampur dengan madu lebah membantu mengatasi masalah obesiti yang dialami oleh kanak-kanak.
Masalah wanita
Bagi kes pendarahan berlebihan, kisar 2g Halia, 2g getah kulit pokok Mambu, 2g biji Ajwain, 2g Tamalpatra dan 10g daun Tulsi. Rebus dalam 100 ml air. Sejukkan dan tapis. Minum 2 sudu besar air rebusan ini setiap 4 jam.
Untuk mengurangkan kebarangkalian mengandung, minum air rebusan daun Tulsi setiap hari pada 3 hari terawal tempoh haid. Kaedah pencegahan kehamilan ini sangat baik kerana ia tidak merosakkan organ peranakan malah menjadikannya lebih sihat dan subur.
Rasa gatal pada kulit perut dan buah dada ketika mengandung boleh diatasi dengan menyapu pes yang disediakan daripada daun Tulsi.
Sediakan perahan daun Tulsi dan jintan manis yang dikisar. Masukkan perahan ini ke dalam susu segar. Minum ramuan ini untuk merawat keputihan dan meningkat kesihatan secara menyeluruh.
Jika aliran darah haid berlebihan sehingga menyebabkan pening dan loya, jus Tulsi yang dicampur madu lebah dapat memberikan kelegaan segera.
Rendam biji tulsi semalaman (12 jam). Lumatkan dan gaul dengan sedikit gula. Makan ramuan ini untuk melegakan kesakitan selepas melahirkan anak.
Campuran 20g jus Tulsi, 20g jus daun jagung, 20g jus Ashwaganda dan 10g madu lebah merupakan ramuan yang amat berkesan untuk meningkatkan kualiti susu ibu.
Masalah keputihan boleh dirawat sempurna dengan campuran 20g jus Tulsi, sedikit pekatan yang terhasil semasa proses memasak nasi ketika ia menggelegak, susu dan minyak sapi. Minum ramuan ini.
Bahan melekit dalam biji tulsi sangat istimewa untuk rawatan penyakit yang berkaitan dengan sistem reproductive wanita. Kisar biji tulsi dan rendam selama 3 hari. Amalan minum ramuan ini sepanjang tempoh haid (bermula dari hari pertama) sangat membantu wanita untuk cepat hamil. Rawatan ini dapat menguatkan rahim.
Untuk memastikan kitaran dan aliran haid yang sempurna, amalkan minum ramuan susu segar yang dicampur dengan sedikit gula dan dibancuh dengan serbuk biji Tulsi, Nagasari (Naagkesar, Mesua Ferrea), Ashwaganda dan Peepal (Ficus Religiosa).
Wanita yang akan melahirkan anak disyorkan minum 1/2 sudu teh jus Tulsi pada waktu pagi dan petang menjelang tarikh melahirkan anak. Ia membantu mengurangkan kesakitan ketika proses melahirkan anak.
Campurkan biji Tulsi, bijan hitam, tunas pokok kapas, tunas pokok buluh dan manisan tebu. Gentel untuk dijadikan ma'jun. Makan 1 biji, 2 kali sehari (pagi dan petang) untuk kesempurnaan kitaran haid dan lain-lain yang berkaitan dengannya.
Masalah lelaki
Campurkan 2 bahagian jus Tulsi dengan 1 bahagian jus Anggur atau air perahan Tebu atau santan Kelapa. Minum ramuan ini untuk merawat kencing tak lawas.
Rendam 10g biji Tulsi dalam segelas air selama semalaman. Kacau biji Tulsi yang telah kembang dalam air itu sehingga hancur. Tambahkan sedikit gula. Minum ramuan ini untuk merawat Dysuria (kesukaran kecing atau sakit ketika kencing)
Ramuan pilihan untuk masalah Dysuria -
(1) 10g daun Tulsi dilumatkan dengan sedikit air dan masukkan ke dalam segelas susu segar. Minum 2 kali sehari.
(2) Campur 10g jus Tulsi dan 10g jus Lemon. Minum 2 kali sehari.
(3) Kunyah beberapa helai daun Tulsi setiap hari selama beberapa hari.
Bagi masalah kurang air mani atau air mani cair, sediakan serbuk campuran 50g biji Tulsi bersama 60g gula yang dihancurkan. Masukkan 5g serbuk ini ke dalam segelas susu. Minum 1 atau dua kali sehari.
Ramuan pilihan boleh disediakan dengan mencampurkan 50g serbuk daun Tulsi, 40g Musli (Chlorophytum Borivilianum), 50g serbuk Tribulus Terristeris, 30g Mucuna Pruriens dan 60g serbuk gula. Masukkan 10g serbuk campuran ini ke dalam segelas susu. Minum sekali sehari.
Beberapa ramuan untuk merawat ejakulasi pra-matang -
(1) Potong akar Tulsi menjadi juraian-juraian kecil. Makan bersama daun sirih.
(2) Makan daun sireh bersama 5g serbuk daun Tulsi.
(3) Sediakan campuran 50g serbuk biji Tulsi, 40g Musli (Chlorophytum Borivilianum) dan 60g serbuk gula. Masukkan 10g ramuan ini ke dalam segelas susu segar. Minum 1 atau 2 kali sehari.
Ramuan untuk rawatan Gonorrhoea (sejenis penyakit kelamin) -
Sediakan serbuk campuran 5g biji Tulsi dan 5g buah Pelaga. Masukkan 5g ramuan ini ke dalam segelas susu segar yang dicairkan (ditambah setengah bahagian air berbanding susu). Minum 3-4 kali sehari. Pastikan bancuhan ini tidak ditambah gula atau sebarang bahan lain).
Ramuan pilihan untuk rawatan Gonorrhoea -
Kisar biji Tulsi dengan sedikit air. Panaskan pes ini bersama minyak Mambu. Biarkan sehingga pes itu berwarna kehitaman. Sejukkan dan asingkan bahan yang hangus (jika ada). Sapu minyak ini pada luka Gonorrhoea. Minyak ini juga sangat mujarab untuk semua jenis luka.
Ramuan untuk rawatan Gonorrhoea, air mani cair dan Dysuria - Rendam 5g biji Tulsi dalam 125 ml air selama satu malam. Kacau sehingga sebati. Minum 2 kali sehari. Untuk rawatan menghilangkan rasa sakit ketika buang air kecil, minum campuran 125 ml susu segar, 125 ml air dan 20-30g jus daun Tulsi.
Untuk masalah sakit ketika buang air kecil yang disertai dengan masalah batu karang dalam pundi kencing dan kerengsaan di bahagian perinium, biji Tulsi yang dikisar bersama Jintan Manis dan dibancuh dengan susu adalah amat mujarab.
Ramuan untuk menambah jumlah air mani, menguatkan pembuluh darah, meningkatkan kesempurnaan pencernaan dan merawat kedunguan -
Adun biji Tulsi bersama manisan tebu dan bentukkan menjadi pil. Makan sebiji pil ini 2 kali sehari selama 4 bulan berserta amalan minum susu segar. Jus Lemon yang dicampur dengan serbuk Tulsi berkhasiat untuk semua masalah berkaitan urogenital. Minum susu segar yang dibancuh dengan serbuk biji Tulsi dan sedikit manisan tebu dapat membantu merawat masalah berkaitan kesuburan lelaki (berkaitan air mani). Amalkan selama tidak kurang 40 hari. 10g pokok Tulsi diadun dengan 2g gula pasir. Makan 2 kali sehari untuk merawat masalah keupayaan sex dan pelbagai masalah urogenital.
Stress
Daun Tulsi adalah agen anti-stress. Kunyah 12 helai daun Tulsi 2 kali sehari untuk mengelakkan stress. Ia juga memulihkan darah dan membantu mencegah banyak penyakit.
Jangkitan di mulut
Kunyah beberapa helai daun Tulsi untuk kelegaan segera.
Gigitan serangga
Tulsi bersifat Prophylactic. Ia mampu menghalang sengatan dan gigitan serangga. Ia juga mampu merawat kesakitan akibat sengatan atau gigitan itu. Minum 1 sudu teh jus daun Tulsi sekali setiap 4 jam selepas terkena gigitan, sehingga 3 kali. Sapu jus itu di tempat gigitan. Selain itu, pes akar Tulsi juga berkesan untuk rawatan gigitan serangga ini bahkan gigitan lintah. Pes campuran daun dan akar Tulsi mujarab untuk merawat kesakitan sengatan kala jengking dan tebuan.
Masalah kulit
Sapu perahan daun Tulsi untuk masalah kurap dan lain-lain jangkitan di kulit. Cara ini juga digunakan dalan kaedah Naturopathy untuk merawat Leucoderma.
Masalah gigi
Gunakan serbuk daun Tulsi ketika menggosok gigi. Cara ini baik untuk kesihatan gigi dan gusi serta merawat masalah nafas berbau. Ia juga berkhasiat untuk masalah Pyorrhea (sakit gigi yang teruk sehingga melibatkan ligamen dan tulang gusi) dan lain-lain masalah berkaitan gigi.
Sakit kepala
Pilihan ramuan untuk sakit kepala -
(1) Minum air rebusan daun Tulsi.
(2) Sediakan pes daripada serbuk daun Tulsi yang dicampur dengan serbuk kayu Cendana. Pupuk di dahi untuk menyejukkan kepala dan menghilangkan rasa sakit atau berdenyut.
sumber : naturalhealthcure.org / wikipedia
Very good article
ReplyDelete